Salam sejahtera semua...

Nama saya Khairul dengan panggilan ngerinya MOMOKZ. Kenapa momok? Sebab masa kecik-kecik, saya sangat takutkan gelap atau tempat yang sunyi. Saya selalu di momokkan adanya benda lain yang tunggu saya di hadapan.

Jadi saya beranikan diri dan anggap sayalah si MOMOK itu. Lekat sampai sekarang, dengan cara dan emosi saya seperti momok yang sukar diramal, yang sukar dijangka.

SIAPA SAYA?
Anda tak perlu pening kepala cari jawapan sebab saya akan ceritakan satu-persatu di sini, sebagai panduan atau rujukan di masa hadapan.

LATAR BELAKANG
Saya dilahirkan di Batu Pahat, Johor. Anak jawa yang sukakan seni lukis hingga mengheret saya memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis Dan Seni Reka (Major Illustration) dari UiTM Melaka.

Asal hajat ingin menjadi seorang kartunis. Tapi tak kesampaian sebab bercanggah pendapat dengan si bapa yang mahukan saya menjadi seorang pendidik.

Tidak mengapa kerana niatku nak memajukan diri dan keluarga. Sehinggalah berjaya menempatkan diri dalam sektor awam. Pekerjaan saya adalah PEREKA dengan Gred 41 semasa bermula di tahun 2002. Kerjaya bermula di HQ Jabatan Penerangan Malaysia dan kemudiannya dicabar menerajui bahagian di Sabah. Sahutan berlanjutan sehingga tahun keempat dan kembali ke Kuala Lumpur pada 2007.

Minat diteruskan dalam bidan kartun dan berjaya menempa nama dengan Karangkraf dalam beberapa projek buku sebagai Illustrator dan penulis. Sehinggalah 2014.

PENCAPAIAN PERIBADI
  • Penolong Pengarah Set (RTM) sejak 2013 hingga kini.
  • Penolong Pengarah (Unit Media Siber) 2011 - 2013
  • Penolong Pengarah (BKVS) Cawangan Sabah 2003 - 2007
  • Pelukis Buku Kanak-kanak "Mia Merah Jambu"
  • Pelukis Buku Kanak-kanak "Famili Fariz".
  • Penulis/Pelukis "Haikal Serba Tahu" (#Projek100buku)
  • Penulis/Pelukis "Busana Merdeka" (#Projek100buku)
  • Pemilik blog OH!BOS...
TENTANG BLOG

Kenapa memilih Oh! Bos sebagai nama blog?

Kerana ia adalah diri saya. Kerjaya saya sebagai seorang "BOS" bermula seawal usia 26 tahun. Dengan staf seramai 26 orang di negeri yang jauh di seberang Laut China Selatan betul-betul mencabar kebolehan saya sebagai seorang newbie dalam bidang pengurusan pejabat dan personel.

Saya tidak pernah termimpi menjadi seorang bos kerana matlamat asal saya adalah menempatkan diri dalam industri kreatif terutamanya dalam bidang seni lukis itu sahaja. Tetapi Allah lebih mengetahui qada dan qadar yang telah ditetapkan bagi setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini.

Alhamdulillah, saya masih mampu meneruskan dan meluaskan kerjaya ini sehingga sekarang walaupun hari-hari ada saja risiko, rintangan dan bebanan yang perlu dihadap sebagai seorang bos.

Apakah kekuatan anda menyampaikan sesuatu di blog ini?

Selepas 12 tahun saya menggalas tugas sebagai seorang bos, saya yakin dengan senjata yang sentiasa berada di dalam diri saya iaitu KOMUNIKASI, DIPLOMASI dan KEPERCAYAAN. Senjata ini perlu ada bagi setiap orang yang ingin menempatkan dirinya sebagai bos dalam sesebuah organisasi malah dalam rumahtangga anda sendiri.

Anda perlu bijak berkomunikasi pada orang yang tepat dan pada masa yang tepat, harus tahu bila hendak menggunakan diplomasi dan terpenting sekali wujudkan dan kekalkan kepercayaan mereka terhadap diri anda. Insyaallah, anda akan bertahan selama mana pun anda mahu dipanggil sebagai 'bos'.

Apakah kandungan blog ini yang boleh menarik minat pembaca?

Saya boleh katakan perkongsian yang bakal saya sediakan di blog ini adalah:

  • Perkongsian santai (setiap hari Isnin)
  • Perkongsian ilmiah (setiap hari Rabu)
  • Review apa sahaja yang sesuai (setiap hari Jumaat)


Itulah serba sedikit tentang saya, hanya satu lagi manusia biasa-biasa yang ingin menjadi luar biasa. Anda hayatilah perkongsian saya di sini dan jika bermanfaat, saya mohon disharekan juga kepada lainnya ya! 

Hanya Allah yang akan membalas kebaikan kamu itu. Amin...


0 comments Blogger 0 Facebook

Post a Comment

 
Oh! Bos... © 2015. Hakcipta Terpelihara. Share on Ads Network Reviews. Powered by Blogger
Top